16 orang maut di negara luar akibat serangan roket
Sekurang-kurangnya 16 orang awam terbunuh akibat serangan roket di kediaman mereka di wilayah Darfur, Sudan yang dilanda perang.
Wilayah itu, yang sudah dilanda konflik sejak awal 2000an, menyaksikan antara keganasan terburuk sejak pertempuran antara dua jeneral tentera Sudan yang merebut kuasa bermula pada pertengahan April lalu.
Kesatuan peguam tempatan memaklumkan sekurang-kurangnya seorang individu terbunuh akibat serangan penembak hendap dalam kejadian berkenaan.
“Ketika pihak tentera dan Pasukan Sokongan Pantas (RSF) berbalas tembakan roket, 16 individu terbunuh semalam berdasarkan kiraan awal di Nyala,” katanya.
Di El Geneina, Darfur Barat yang berhampiran Chad, penembak hendap dilaporkan menyasarkan penduduk dari atas bumbung sejak pertempuran bermula, dengan puluhan ribu penduduk sudah melarikan diri merentasi sempadan.
Perang itu yang bermula di Khartoum pada 15 April dan merebak ke Darfur lewat bulan itu, menyebabkan sekurang-kurangnya 3,000 individu terkorban di seluruh Sudan.
Pertempuran itu membabitkan perebutan kuasa antara jeneral tentera, Abdel Fattah al-Burhan menentang bekas timbalannya, Mohamed Hamdan Daglo yang juga komander pasukan separa tentera RSF.
Pertempuran di Darfur yang juga kubu kuat RSF, kini tertumpu di sekitar Nyala selepas pertempuran ganas di El Geneina, di mana Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan berlakunya kekejaman.
Pertempuran turut berterusan di Khartoum dan sekitarnya. Penduduk hari ini memaklumkan berlaku serangan udara pertama oleh pihak tentera di beberapa kampung di Al-Jazirah, di selatan ibu negara.
Tanah subur antara Sungai Nil Putih dan Sungai Nil Biru kini menempatkan ratusan ribu daripada keseluruhan 3.3 juta penduduk yang hilang tempat tinggal akibat perang berkenaan, dan mereka mungkin perlu melarikan diri sekali lagi jika pertempuran berlaku di Al-Jazirah.
“RSF memiliki kelebihan di Khartoum sejak peperangan bermula, namun kelebihan itu semakin jelas kelihatan sekarang,” kata badan pemimir Kumpulan Krisis Antarabangsa (ICG).
Menurut IGC, pihak tentera melancarkan serangan besar pada 15 Julai lalu di Khartoum Utara dan memusnahkan keseluruhan kejiranan di pinggit bandar menerusi serangan udara, namun serangan itu dikatakan gagal sepenuhnya.
BACA JUGA:
Bangkai babi hutan dalam kedai serbaneka ditemui
Tular pemuda temui sebungkus kain batik atas buaian depan rumah yang berisi…