Ayah bangga tunjuk baju PLKN 18 tahun lepas tapi anak gadis lebih tertumpu nama ‘Ikin’ dekat baju ayah

Video seorang lelaki menayang baju kenangan ketika menyertai Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) suatu ketika dulu mencuit hati warga maya.

Namun bukan kisah kenangan tentang baju berusia 18 tahun itu yang mencuri perhatian, sebaliknya gelagat anak perempuan kepada lelaki terbabit yang dilihat menconteng baju seragam berkenaan.

Mana tidaknya, pada baju tersebut tertulis pesanan daripada seorang wanita dikenali sebagai Ikin yang dipercayai teman wanita kepadanya suatu masa dahulu.

Ayah bangga tunjuk baju PLKN 18 tahun lepas tapi anak gadis lebih tertumpu nama ‘Ikin’ dekat baju ayah

“Apabila Ikin tak ada nanti jangan gatal dengan orang lain. Mirul milik Ikin seorang, tak mahu share dengan orang lain… I love you!,” demikian pesanan yang ditinggalkan pada baju itu.

Pun begitu, pesanan yang tercoret kemas sejak 18 tahun lalu akhirnya ‘dipadam’ oleh kanak-kanak perempuan berkenaan.

Malah dia menggantikan nama bapa dan ibunya pada ruangan kemeja berkenaan.

Menerusi kapsyen yang dikongsikan, kanak-kanak tersebut dikatakan cemburu apabila terdapat nama wanita lain bersama ayahnya.

“Rupanya ada anak perempuan yang lagi cemburu apabila baca. Dia padam semua tulisan pada baju tu,” tulis pemilik akaun TikTok itu.

Irine Nadia berkata, momen tersebut berlaku di kampung suaminya di Melaka selepas dia bertanyakan tentang baju seragam PLKN yang dilihatnya tersangkut di luar bilik.

“Masa balik kampung, baju tu dibawa keluar sebab nak kemas-kemas barang lama. 11 tahun kahwin, baru pertama kali saya nampak baju tu.

“Kemudian anak mula bertanyakan baju apa tu dan suami cakap yang baju tu adalah pakaian seragam kem latihan, 18 tahun lepas,” ujarnya.

Tanpa diduga, anak sulungnya Fiska Medina ternampak tulisan yang ada pada baju tersebut.

Dia kemudian membaca setiap mesej yang tertulis pada tahun 2004 sebelum memarahi ayahnya.

Bukan itu sahaja, Fiska juga menunjukkan riak cemburu selain menyatakan hanya ibunya sahaja yang boleh dikahwini.

“Dia memang marah teruk dekat ayah dia sebab si sulung memang kuat cemburu dan tak suka kalau ayah dia tengok perempuan lain.

“Dia siap cakap yang ayah boleh kahwin dengan ibu sahaja… saya cemburu juga tapi anak lagi over,” ujarnya sambil ketawa.

Tidak terhenti begitu saja, anak perempunya yang kini berusia 10 tahun turut memadam setiap mesej tersebut dengan mencontengnya.

“Anak terus ambil pen conteng tutup semua tulisan dekat baju tu dan ganti tulis nama ibu dan ayah dia, Irine & Amirul,” ujarnya lagi.

Tindakan spontan yang dilakukan itu membuatkan suaminya membalas dengan ketawa sahaja.

Bahkan terpaksa reda meskipun seragam kenangan itu telah tersimpan lama.

Berkongsi kisah menarik tentang anak-anaknya, wanita yang berusia 31 tahun ini berkata, situasi cemburu paling teruk pernah disaksikan adalah ketika mereka berjalan di dalam pusat beli-belah.

“Paling teruk, kalau pergi mall mana-mana, keempat-empat anak kami tu tak bagi ayah dia pandang tempat lain… takut terpandang perempuan dekat mall.

“Padahal ayah dia tak pandang apa pun, macam kena escort. Anak-anak duduk kiri kanan perhati ayah kalau berjalan.

“Anak-anak wakilkan ibu dia jaga ayah… lega,” katanya lagi yang menjalankan bisnes sendiri.

Tambah anak kelahiran Melaka itu lagi, sikap cemburu bukan hanya dimiliki si sulungnya sahaja tetapi kesemua anak-anaknya yang berusia 8, 7 dan 5 tahun.

BACA JUGA:

Mitos! minum air masak tak boleh kurangkan gula dalam badan, ini cara sebenar buang gula dalam badan yang perlu anda ketahui

Beli pasta salmon dapat sepihan isi ikan, abang sado berang rugi RM33

Jasamu tidak ternilai, semua orang patut berbangga dapat pekerjaan mulia ni