Sumber air tawar merupakan satu khazanah alam yang tidak ternilai.
Mungkin ramai tidak sedar, namun bekalan air bersih merupakan satu keperluan asas dalam kehidupan setiap manusia.
Bayangkan dunia tanpa kemudahan akses air bersih, pastinya sungguh merumitkan dan pelbagai kesulitan akan timbul.
Justeru air bersih wajar digunakan dengan berpada-pada dan segala bentuk pembaziran perlu dielakkan.
Ayuh kita lihat beberapa tip yang boleh membantu anda untuk menjimatkan penggunaan air di rumah, bil juga tidak akan naik mencanak.
Tip jimat air
1) Mandi dengan air pancuran
Air pancuran (shower) sebenarnya mengehadkan air yang dikeluarkan berbanding menggunakan hos air biasa.
Selain itu, mandi dengan air pancuran akan terasa lebih puas kerana air yang dikeluarkan adalah bertekanan tinggi, solusi dua dalam satu.
2) Gosok gigi atau sabun badan tak perlu buka air
Ingat, setiap titisan air itu adalah sangat berharga. Jika tidak digunakan, walaupun sekejap, tutup pili air, besar impaknya.
3) Basuh pinggan di dalam singki diisi air
Teknik ini akan memastikan penggunaan air yang minimum ketika membasuh pinggan, elakkan air bersih dari terbazir begitu sahaja ke dalam longkang.
4) Cuci kereta guna air dalam baldi
Sama konsep seperti ketika anda membasuh pinggan, mencuci kereta menggunakan pili air yang mengalir akan menyebabkan air digunakan secara berlebihan dan pembaziran berlaku.
5) Pasang tangki curahan air dwisistem, curahan separuh untuk urin dan curahan penuh untuk najis
Sistem ini walaupun kelihatan ringkas tetapi besar penjimatan yang disumbangkan, anda tidak memerlukan air yang banyak untuk mengepam keluar urin dari mangkuk tandas.
6) Guna mesin basuh muatan penuh
Jangan basuh baju di dalam mesin secara kerap, adalah lebih baik kumpulkan pakaian dan membasuhnya secara serentak.
Mengurangkan penggunaan air adalah satu penjimatan.
7) Baiki pili air atau paip yang bocor
Tanpa disedari ramai, paip yang bocor menyebabkan air terbazir begitu sahaja. Walaupun air yang keluar itu tidak banyak tetapi ia berterusan, sikit-sikit, lama-lama jadi bukit bukan?
8) Kumpul air hujan untuk siram pokok dan tanaman
Sambil menyelam, minum air. Hujan adalah bekalan air bersih yang percuma, manfaatkannya sebaik mungkin.
BACA JUGA:
Selalu kutuk member dalam status Whatsapp? Ketahui hukumnya
Bahaya pasang ayat-ayat ruqyah semasa memandu,”Hidup biar beradab,”
Tular ibu 7 anak masuk maraton pakai kostum ‘Ninja Runners’, tapi penonton rasa rimas