Hamzah bijak alihkan perhatian mengenai isu rasuah – Rafizi

Hamzah bijak alihkan perhatian mengenai isu rasuah – Rafizi

Tindakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin mahu mendedahkan isi surat Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang didakwa meminta membatalkan keputusan pemilihan PKR pada 2022 untuk mengalih perhatian semata-mata.

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, berkata Hamzah mahu mengalihkan perhatian daripada fokus sebenar, iaitu dakwaan dan siasatan yang dibuat membabitkan amalan rasuah di negeri-negeri pimpinan Perikatan Nasional.

Hamzah bijak alihkan perhatian mengenai isu rasuah - Rafizi

“Saya tidak berasa apa-apa. Ia tidak akan mengubah naratif kempen. Malah, saya sudah berbual panjang dengan Datuk Seri Saifuddin tadi. Kami telah berbincang dan saya memberitahunya supaya tidak bimbang mengenainya.

“Ini adalah persembahan sampingan daripada Hamzah untuk mengalih perhatian terhadap fokus siasatan terhadap amalan rasuah, khususnya kecurian unsur nadir bumi (REE) di daerah Sik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Pusat Kecemerlangan Industri Pertanian IPR INTAN@UPM di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini, hari ini.

Hamzah yang juga Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) sebelum ini berkata, beliau akan mendedahkan surat yang didakwa dihantar Saifuddin yang cuba membatalkan pemilihan PKR tahun lalu, selepas tewas kepada Rafizi dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden PKR.

Perkara itu juga dinafikan oleh Saifuddin sebelum ini yang menjelaskan surat tunjuk sebab diterima PKR daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) berkaitan aduan ahli parti dan bukan untuk membatalkan keputusan pemilihan PKR pada 2022.

Beliau berkata, RoS memberi tempoh dua minggu kepada PKR untuk menjawab surat itu sekiranya tidak mahu parti dibatalkan.

Katanya, dakwaan Hamzah kononnya beliau pernah merayu untuk membatalkan keputusan pemilihan PKR pada 2022 selepas tewas kepada Rafizi itu, hanyalah kenyataan politik.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata, fokus Hamzah untuk mengalihkan perhatian orang ramai daripada kebenaran berhubung surat Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor kepada Hamzah dalam membawa warga asing China untuk bekerja di REE.

“Perkara biasa bagi mana-mana ahli politik untuk membawa isu seperti ini semasa pilihan raya. Di pihak saya, saya tidak fikir ia mengubah fokus sebenar pilihan raya.

“Saya juga berpendapat orang ramai tidak akan terlalu memberi perhatian dengan kempen membabitkan isu seperti ini,” katanya.

BACA JUGA:

Radhi OAG enggan membayar RM300,000 kepada bekas isteri berikutan kes pukul

Arab Saudi buru Kylian Mbappe masuk ke Liga Pro Saudi

Wanita pernah viral pandu kereta menggunakan kaki selamat bernikah, “Syukur dia terima kekurangan saya”