Karnival Jom Heboh dapat sambutan positif dari rakyat – Kon Yeow
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow terkejut dengan sambutan luar biasa Karnival Jom Heboh yang berlangsung di Stadium Negeri Batu Kawan, di sini sejak Jumaat lalu.
Sambil berjenaka, Kon Yeow mengatakan beliau tidak menyangka orang ramai sanggup meredah kesesakan untuk memeriahkan karnival itu.
Beliau juga kagum melihat tempat parkir yang penuh dengan kenderaan, namun pengunjung tetap berpusu-pusu masuk kerana tidak mahu melepaskan peluang merasai kemeriahan Jom Heboh.
“Saya difahamkan kehadiran di karnival ini mencatatkan lebih 300,000 pengunjung selama tiga hari yang mana ia rekod luar biasa.
“Ini menunjukkan karnival ini sememangnya dinanti-nantikan rakyat Malaysia khususnya penduduk Pulau Pinang
“Bagi saya, Karnival Jom Heboh adalah jenama dan acara yang membawa kebahagiaan kepada rakyat seluruh Malaysia kerana keunikannya yang menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan, sektor swasta serta membantu perniagaan industri kecil dan sederhana (IKS),” katanya ketika berucap pada Majlis Penutup Karnival Jom Heboh, di sini, malam ini.
Terdahulu, Kon Yeow meluangkan masa lebih dua jam di tapak karnival itu dengan melawat beberapa pameran di reruai yang disediakan sepanjang karnival, selain bersua sapa dengan pengunjung yang hadir.
Pengurusan tertinggi diketuai Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid bersama Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima Berhad, Rafiq Razali dan Pengarang Urusan Kumpulan New Straits Times Press Malaysia Berhad (NSTP) yang juga Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman mengiringi Kon Yeow sepanjang lawatan berkenaan.
Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, beliau berharap Karnival Jom Heboh akan diadakan lagi di negeri itu pada akhir tahun ini atau awal tahun hadapan berikutan ia mendapat tempat di hati rakyat.
“Saya mengalu-alukan kedatangan karnival ini dan berharap kita akan berjumpa lagi.
“Ini bukan kali pertama saya datang melawat kerana semasa pembukaan juga saya sudah datang yang mana saya amat berpuas hati dengan kejayaan karnival ini,” katanya.
Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, beliau mahu terus memimpin Pulau Pinang supaya rakyat dapat terus menikmati kemajuan, pertumbuhan ekonomi yang membolehkan lebih banyak pelabur asing masuk sekali gus menawarkan peluang pekerjaan kepada rakyat.
“Apatah lagi, kerajaan Pusat juga senada dengan kita yang membawa pelbagai projek antaranya infrastruktur, rancangan tebatan banjir (RBT) dan pengangkutan awam untuk kesejahteraan rakyat negeri ini.
“Jadi, saya berharap kesinambungan ini dapat diteruskan untuk penggal seterusnya,” katanya.
BACA JUGA:
Tiada jaringan gol dari Luis Suarez lagi, ramai penyokong patah hati
”Siapa punya idea ni?” – Netizen persoal hasil kerja pelajar sekolah
Akhirnya Masya Masyitah buka tudung, netizen pula perli wajah persis ‘barbie’