Kejohanan Karate Asia: Trio karate negara sumbang gangsa ketiga
Trio negara dalam acara Kata Berpasukan Wanita, Lovelly Anne Robberth, Naccy Nelly Evvaferra Rojin dan Niathalia Sherawinnie Yampil menyumbang gangsa ketiga negara pada Kejohanan Karate Asia 2023 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) hari ini.
Mereka meraih 42.4 mata menewaskan Hong Kong yang mengumpul 41.8.
Kejayaan trio berusia 19 tahun terbabit menamatkan kemarau pingat kontinjen negara selepas tiada pingat pada hari kedua semalam sekali gus menceriakan peminat yang hadir memberi sokongan padu pada hari terakhir.
Niathalia berkata, dia amat berpuas hati dengan persembahan ditampilkan untuk pingat yang menjadi hadiah hari kelahirannya semalam.
Sementara itu, Lovelly pula berkata pingat berkenaan menebus kekalahan mereka di Tashkent, Uzbekistan pada edisi lepas.
“Kami rasa puas hati akhirnya dapat memperbaiki keputusan berbanding ketika beraksi di Uzbekistan, dan saingan hari ini, kami dapat mengutip mata dengan baik sekali,” kata Lovelly.
Jurulatih pasukan, Mohd Norfarhan Nordin berkata banyak peningkatan ditampilkan trio negara dalam saingan kali ini.
“Saya berpuas hati dan banyak peningkatan terutama daripada aspek teknikal dan kefahaman mereka dalam Kata. Persembahan mereka juga semakin matang dan ia sesuatu yang sangat bagus.
“Sehubungan itu, latihan dan persiapan atlet akan terus diberi penekanan sama ada ke Sukan Asia atau tidak kerana yang penting kita akan selalu bersedia. Bagi saya persiapan itu penting, tak kira apa kejohanan sekali pun,” kata Norfarhan.
Justeru, dia menyerahkan kepada pihak pengurusan Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) berkaitan peluang anak didiknya sama ada tersenarai atau sebaliknya dalam Sukan Asia di Hangzhou, China pada Oktober depan.
BACA JUGA:
Menang RM250,000 Chiwan mahu beli rumah dan kereta untuk persiapan kahwin tahun ni
Jualan Rahmah sudah bergerak diharap membantu rakyat membeli dengan harga pasaran yang rendah
Malang tidak berbau, penunggang motosikal maut dirempuh kereta langgar lampu isyarat