KKD lancar pakej rahmah jalur lebar serendah RM69 sebulan

KKD lancar pakej rahmah jalur lebar serendah RM69 sebulan

Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) hari ini melancarkan Pakej Rahmah Jalur Lebar Tetap Allo yang menawarkan perkhidmatan internet kediaman pada harga rendah berbanding pasaran.

Menterinya, Fahmi Fadzil, berkata Allo Technology Sdn Bhd, anak syarikat Tenaga Nasional Berhad (TNB), menawarkan perkhidmatan internet pada harga RM69 sebulan berkelajuan 100 Mbps tanpa had data, penjimatan RM30 sebulan berbanding pakej semasa ditawarkan Allo.

PM lancar pakej rahmah jalur lebar serendah RM69 sebulan

Katanya, pakej itu khusus kepada golongan B40, warga emas, orang kurang upaya (OKU), veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), pesara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pesara Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), selain penduduk di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA).

“Apa yang lebih menarik ialah tawaran pakej ini tiada had waktu iaitu tawaran berkekalan. Tahniah kepada Allo kerana turut menawarkan Pakej Rahmah meskipun harga pakej semasa mereka sudah kompetitif berbanding yang lain.

“Dengan liputan Allo yang bertumpu kepada kawasan pinggir dan luar bandar iaitu di Kedah, Perak, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Melaka, Johor serta Cyberjaya, inisiatif ini mampu memberi impak yang besar dalam usaha merapatkan jurang digital,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pakej Rahmah Jalur Lebar Tetap Allo di Pusat Konvensyen Leo Moggie di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalannya, Teo Nie Ching; Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Baharin Din; dan Ketua Pegawai Eksekutif Allo Technology Sdn Bhd, Mohamed Ghous Ahmad.

Fahmi berkata, semua inisiatif pakej internet yang diumumkan KKD sebelum ini, dikenali sebagai Pakej Perpaduan dijenamakan semula sebagai Pakej Rahmah selaras keputusan jemaah menteri Selasa lalu.

Antara pakej internet yang diumumkan dengan kerjasama penyedia perkhidmatan telekomunikasi adalah Pakej Perpaduan Internet Mudah Alih (Prabayar) dan Pakej Perpaduan Jalur Lebar Tetap (Internet Kediaman) serta Pakej Perpaduan PPR/PA@MyKabel.

Fahmi berkata, penjenamaan semula Pakej Perpaduan kepada Pakej Rahmah antara lain adalah bagi memperingati jasa bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub yang mempelopori konsep Rahmah.

“Sebagai memperingati jasa beliau dan meletakkan konsep rahmah atau kasih sayang pada tahap lebih jelas, ada kewajaran untuk beralih daripada konsep perpaduan kepada konsep kasih sayang.

“Ini juga akan meletakkan konsep rahmah sebagai inisiatif nasional kepada kumpulan sasar, khususnya B40,” katanya.

BACA JUGA:

Ayah pernah tersalah makan ubat, anak ahli farmasi puas hati dapat DIY rak mini siap label besar-besar, guna bahan kitar semula je!

Akhirnya Fizz Fairuz bertemu Mimi Peri, rupanya bergabung dalam ‘Mat Tudung Begins’

Gadis berani putuskan bekalan elektrik kampung sebab nak jumpa BF