Mengejutkan! Rupanya filem Walid bukan sahaja tayang di Malaysia, tapi siap masuk panggung Amerika
Pengarah filem Areel Abu Bakar tidak menyangka filem arahan terbaharunya yang berjudul Walid bakal menembusi pasaran antarabangsa.
Menurut Areel, kejayaan ini merupakan satu titik permulaan bagi filem tempatan untuk menembusi pasaran luar dan menganggap pencapaian ini adalah kejayaan yang luar biasa.
“Bagi saya ini merupakan langkah awal filem tempatan tembusi pasaran luar. Apa pun saya gembira sebagai anak Malaysia yang mampu menembusi pasaran filem antarabangsa seperti Amerika Syarikat (AS).
“Kita sedia maklum prosedur untuk melayakkan tayangan filem di sana (AS) bukanlah mudah kerana sudah pasti mereka lebih teliti melihat dari segi kualiti dan isi penceritaan.
“Memang tidak pelik kalau orang kita selalu tertanya-tanya kenapa filem Malaysia susah sangat nak ditayangkan di sana,” katanya.
Dalam pada itu, Areel juga tidak menafikan filem arahannya sebelum ini iaitu Geran yang menerima anugerah Daniel A.Craft Award di Festival Asia New York (NYAFF) ke-19 dua tahun lalu antara faktor naskhah terbaharunya itu mendapat perhatian.
Kata Areel, filem Walid bukan sekadar filem aksi semata-mata, malah mengangkat isu kemanusiaan dan kenegeraan dengan menerapkan elemen silat.
Tambahnya, dia berangkat ke AS pada 24 Julai lalu dan akan berada di sana selama hampir sebulan.
“Saya akan berada agak lama di Amerika Syarikat memandangkan Walid akan ditayangkan di dua buah negeri iaitu Los Angeles dan New York.
“Selain tayangan filem, sesi diskusi dan soal jawab mengenai filem ini turut diadakan. Namun ia semua bergantung dengan pengurusan pihak pawagam di sana,” ujarnya.
Untuk info, Walid menampilkan barisan pelakon hebat termasuk Megat Sharizal, Namron, Fad Annuar, Fieyna Tajudin, Puteri Qaseh, Shamputra, Yusran Hasim dan ramai lagi.
FIlem yang mengangkat kisah penculikan kanak-kanak membabitkan sindiket pemerdangan manusia ini bakal ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia pada 14 September ini.
BACA JUGA:
Jangan suka hati garu gegata, ini 7 punca & cara betul untuk merawat sebelum melarat
3 pilihan resepi chocojar yang mudah pasti ranggup & cair meleleh