Nassuruddin diangkat jadi MB Kelantan
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meranti, Datuk Nassuruddin Daud selesai mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kelantan yang baharu, manakala ADUN Temangan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan sebagai Timbalan Menteri Besar, hari ini.
Mohd Nassuruddin dan Mohamed Fadzli mengangkat sumpah jawatan berkenaan jam 5.30 petang di hadapan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V di Istana Negeri, Kubang Kerian.
Istiadat angkat sumpah jawatan itu disaksikan Hakim Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Datuk Roslan Abu Bakar; Speaker DUN Kelantan, Datuk Abdullah Yakub; Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad dan Ketua Hakim Syarie Kelantan, Ibrahim Deris.
Mohd Nassuruddin adalah Menteri Besar Kelantan yang ketiga selepas PAS mengambil alih Kelantan tahun 1990. Sebelum ini Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Datuk Ahmad Yakob.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu lalu, Nassuruddin mempertahankan kerusi DUN Meranti selepas menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Zahri Omar dengan majoriti 9,154 undi.
Bekas Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan Dan Hubungan Seranta mempertahankan kerusi berkenaan sejak 1999.
Nassuruddin yang mendapat pendidikan di Universiti Al Azhar, Mesir adalah Ketua Penerangan PAS Kelantan serta digelar Panglima Perang PAS Kelantan.
Mohamed Fadzli pula menggantikan Mantan Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.
Timbalan Pesuruhjaya III PAS Negeri Kelantan itu mempertahankan kerusi DUN Temangan sejak 2008 iaitu selama tiga penggal.
Mohamed Fadzli adalah lepasan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dan lepasan Doktor Falsafah di Universiti of Birmingham, United Kingdom.
BACA JUGA:
Hobi pelik bukan gila, lelaki simpan bangkai pesawat pejuang
Guru tadika kena kecam sebab ajar murid menari ‘twerk’ dalam kelas