Niat nak ‘surprise’ anak sulung tapi lain yang jadi lepas ibu ambil video, netizen sebak
Menjadi lumrah biasa dalam keluarga, anak sulung sememangnya banyak berkorban untuk adik-adik yang lain.
Sedar akan hal itu, seorang wanita dikenali sebagai Nurul Hidayah turut menghadiahkan sebuah basikal untuk putera sulungnya, Muhammad Fareez Rizqin.
Video kejutan istimewa buat penghuni pertama rahimnya itu turut dikongsi menerusi aplikasi TikTok sehingga ia tular dalam kalangan netizen.
Dalam video berkenaan, suami Nurul dilihat menekup mata Fareez sebelum dia dibawa untuk melihat sebuah basikal baharu di hadapan kediaman mereka.
Kanak-kanak itu kelihatan tersipu-sipu seketika sebelum bertanya kepada ibunya untuk mendapatkan kepastian.
Selepas itu, Fareez terus memeluk ibunya sambil mengalirkan air mata kegembiraan.
Terima kasih sebab awak selalu faham bila mommy cakap kalau ada duit, nanti kita beli.
Bercerita lanjut, Nurul berkata dia membuat kejutan berkenaan sebagai membalas kesabaran anak sulungnya yang sentiasa beralah demi adik-adik yang lain.
“Terlalu banyak penghargaan kalau nak raikan dia (anak sulung) sebenarnya. Seperti mana ramai orang tahu, anak pertama ni banyak tersakiti.
“Bergaduh dengan adik, abang yang kena. Adik nangis, abang yang kena. Tengok adik-adik dapat beli macam-macam, dia hanya mampu bersabar menunggu turn dia,” ujar Nurul.
Menurut wanita itu, hadiah berkenaan juga diberi bagi menghargai kesungguhan anak sulungnya yang rajin dalam bidang agama dan akademik.
“Actually, dia dah lama nak (basikal). Memang selalu kalau bercerita, dia akan beri tahu dia nak apa. Tapi, mommy daddy belum mampu sayang. Tak semua benda dalam dunia ni kita boleh dapat bila-bila masa.
“Tapi atas sebab abang rajin pergi mengaji, abang rajin pergi tuisyen, abang rajin pergi sekolah, time puasa abang puasa, maka inilah sedikit penghargaan kecil buat penghuni rahim mommy yang pertama,” ujar wanita itu.
Menurut Nurul, dia berkomplot dengan suaminya untuk menjayakan kejutan berkenaan dan tidak sabar-sabar untuk melihat reaksinya.
“Sebenarnya, dia tak tahu pun dia nak dapat hadiah apa. Dia cuma berteka teki je. Mommy memang dah pakat dah dengan daddy nak beri kejutan sebab nak tengok reaksi dia.
“Lagi pun mommy memang tahu anak sulung mommy macam mana. Sangat sensitif orangnya. Dia punya reaction tu memang ikhlas sangat,” ujar Nurul.
Di akhir luahan hatinya, Nurul turut menitipkan ucapan terima kasih buat anak sulungnya sehingga video itu meraih lebih 57,000 tontonan.
“Terima kasih Muhammad Fareez Rizqin sebab awak yang mengajar mommy menjadi ibu walaupun tak sempurna, terima kasih sebab awak selalu faham apabila mommy cakap kalau ada duit, nanti kita beli.
“Terima kasih sebab awak sabar tunggu, dan last but not least, terima kasih sebab jadi anak yang baik. Doa dan reda mommy sentiasa mengiringimu wahai anakku.
“Thank you juga daddy sebab usaha gembirakan anak-anak walau terpaksa korbankan keinginan sendiri,” ujar Nurul lagi.
BACA JUGA:
Pakaian Mimi Peri buat netizen tertanya-tanya ” Mimi ni lelaki ke perempuan”
Fify Azmi berkeras mahu berpisah, difitnah tak puas enjoy punca tak jadi kahwin
Ada kad kredit tapi tidak digunakan? Ini denda yang anda akan hadapi