pelbagai kesalahan libatkan sitaan RM1juta direkodkan
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) cawangan Bintulu merekodkan 59 kes atas pelbagai kesalahan dengan menyita barang bernilai RM1 juta dalam operasi pemeriksaan ke atas 4,279 premis sejak 1 Januari hingga 30 Jun tahun ini di seluruh bahagian Bintulu.
Ketua Cawangannya, Al Redzamani Abdul Razak berkata, pelbagai operasi dijalankan bagi memastikan peniaga mematuhi undang-undang sepanjang tempoh tersebut.
“Beberapa kompaun telah dikeluarkan dan ia membabitkan pelbagai kesalahan antaranya harga mahal, tiada tanda harga, penimbang tidak tepat, pelanggaran peraturan halal, barang tiruan dan penyelewengan barangan bersubsidi khususnya bahan api diesel,” ujarnya dalam kenyataan media di sini hari ini.
Pegawai-pegawai KPDN memeriksa barangan dan harga barang keperluan asas berupa minyak, telur dan ayam di sebuah premis di Bintulu.
Pegawai-pegawai KPDN memeriksa barangan dan harga barang keperluan asas berupa minyak, telur dan ayam di sebuah premis di Bintulu.
Beliau berkata, semua premis ini diperiksa dari segi pematuhan undang-undang di bawah KPDN.
Pada bulan Mac lalu katanya, KPDN melancarkan Op Tiris bermula 1 Mac hingga 31 Ogos depan bagi membanteras ketirisan subsidi diesel di negara ini.
“Pelaksanaan operasi itu penting bagi memastikan subsidi diesel tidak mengalami ketirisan dan memastikan ia sampai kepada pihak yang layak menerimanya,” jelasnya.
Katanya, sebanyak 19 kes telah direkodkan dengan nilai rampasan sebanyak RM1,024,950.10 juta melibatkan penyelewengan diesel bersubsidi di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 di sekitar Bintulu.
Tambahnya, ini adalah hasil usaha bersama pelbagai agensi terutamanya pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang banyak membantu KPDN dalam membanteras penyelewengan barangan bersubsidi diesel.