Rodziah dan Loy Sian dibuang untuk bertanding, Anwar ganti Juwairiya Zulkifli

Rodziah dan Loy Sian dibuang untuk bertanding, Anwar ganti Juwairiya Zulkifli

PKR membuat beberapa pertukaran kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan rakan sekutu, khususnya Parti Amanah Negara (AMANAH) dalam misi memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memaklumkan kerusi DUN Batu Tiga yang disandang bekas EXCO Selangor, Rodziah Ismail sebelum ini akan diserahkan kepada AMANAH.

Rodziah dan Loy Sian dibuang untuk bertanding, Anwar ganti Juwairiya Zulkifli

Sebagai tukar gantinya, Anwar berkata, PKR akan bertanding di kerusi DUN Hulu Kelang di bawah Parlimen Gombak.

“Ada pertukaran kawasan saat akhir, saya simpati dengan Roziah tetapi yang kena runding peringkat paling akhir, saya betul-betul minta maaf. Kadang-kadang keputusan bukanlah kita setuju semua, tetapi bila keadaan buntu kita terpaksa ada sedikit kesediaan untuk tolak ansur.

“Jadi sebab itu kita tukar, kita ambil (DUN) Hulu Kelang dan kita serah Batu Tiga. Tetapi ada kebijaksanaannya kerana kita letak calon Hulu Kelang, seorang tokoh yang berani dan berani lawan, Juwairiya Zulkifli,” kata Anwar pada majlis pengumuman calon PKR di Shah Alam malam tadi.

Sementara itu, Anwar berkata, di DUN Kajang, seorang lagi bekas EXCO Selangor, Hee Loy Sian tidak dinamakan semula dengan tempatnya akan digantikan dengan calon muka baharu, David Cheung Kian Yong.

“Bagi (DUN) Kajang pula, keputusan yang sukar kerana Loy Sian memainkan peranan yang sangat baik dan memuaskan, tetapi kita rasa perlu berikan penonjolan kepada tokoh baharu. Kajang David Cheung Kian Yong,” katanya.

Secara keseluruhannya, PKR menampilkan 20 calon yang akan bertanding di Selangor dengan 11 muka baharu, termasuk penyanyi rap dan komposer terkenal, Altimet atau nama sebenarnya Syed Ahmad Syed Abdul Rahman di DUN Lembah Jaya, Aidi Amin (Kota Damansara) serta Thiban Subramaniam di DUN Bukit Melawati.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bersama bekas tiga EXCO, Borhan Aman Shah, Mohd Khairuddin Othman dan Mohd Zawawi Ahmad Mughni akan mempertahankan kerusi masing-masing di DUN Sungai Tua, Paya Jaras serta Sungai Kandis.

Turut dikekalkan pencalonan, penyandang Chua Wei Kiat di DUN Rawang, Najwan Halimi (Kota Anggerik), Azmizam Zaman Huri (Pelabuhan Klang) dan Gunaraj George di DUN Sentosa.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 29 Julai sebagai tarikh penamaan calon, manakala pengundian awal ditetapkan pada 8 Ogos dan Hari Mengundi pada 12 Ogos depan.

BACA JUGA:

Ahli perniagaan dakwa SPRM membuat kenyataan palsu sedang diburu

Kejohanan Karate Asia: Trio karate negara sumbang gangsa ketiga

Jualan Rahmah sudah bergerak diharap membantu rakyat membeli dengan harga pasaran yang rendah