Saya akan meneruskan pembabitan dan menyumbang untuk meningkatkan taraf badminton negara – Datuk Misbun Sidek
Legenda negara, Datuk Misbun Sidek menyifatkan tempoh enam tahun bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sebagai ‘mencabar namun memuaskan’ selepas kedua-dua pihak bersetuju ‘berpisah’ berkuatkuasa 1 Ogos ini.
Misbun yang kembali mencurahkan pengalamannya di BAM pada 2017 mengucapkan terima kasih kepada badan induk berkenaan atas peluang untuk bekerjasama bagi menggilap pemain muda.
“Enam tahun yang sangat baik dan saya menikmati setiap detik di akademi (Akademi Badminton Malaysia) dan bekerja bersama pemain. Saya berterima kasih kepada BAM dan Presiden, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria kerana melantik saya.
“Ia memang mencabar tetapi memuaskan,” kata Misbun.
“Kita mempunyai pemain berbakat dan saya mendoakan yang terbaik untuk mereka. Badminton berjalan dalam nadi saya dan saya akan meneruskan pembabitan dan menyumbang untuk meningkatkan taraf badminton di negara kita.”
Sebelum itu, Timbalan Presiden BAM, Datuk V Subramaniam dalam satu sidang media mengumumkan yang kedua-dua pihak secara bersama bersetuju untuk mengambil haluan masing-masing.
Keputusan itu dibuat selepas jawatankuasa khas yang ditubuhkan bagi mencari punca prestasi hambar pemain di Kejohanan Badminton Remaja Asia di Jogjakarta, Indonesia awal bulan ini.
Malah, persetujuan secara bersama itu menyaksikan Misbun, 63, bersetuju dengan BAM untuk menamatkan kontrak lebih awal berbanding yang sepatutnya pada Disember tahun ini.
Untuk rekod, Misbun pernah meletak jawatan sebagai jurulatih perseorangan negara pada penghujung 2010 dan menolak tawaran BAM untuk dilantik sebagai ketua jurulatih pasukan kebangsaan tiga tahun kemudian atas ‘sebab peribadi’.
Begitupun, Misbun kembali semula menyertai BAM sebagai ketua jurulatih skuad senior pada 2017 dan kemudian diturunkan pangkat menjadi Pengarah Pembangunan Skuad Remaja pada 2020 dan skop tugasnya dikecilkan kepada pengarah kejurulatihan perseorangan remaja, November tahun lalu.
BACA JUGA:
Akhirnya Fizz Fairuz bertemu Mimi Peri, rupanya bergabung dalam ‘Mat Tudung Begins’
Gadis berani putuskan bekalan elektrik kampung sebab nak jumpa BF