’Saya harap ahli UMNO setia tidak undi parti lain pada PRN ini’
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yakin ahli UMNO akan terus setia bersama parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.
“Dalam kempen ini, orang akan bercakap macam-macam yang tidak wajar dan tidak rasional.
“Bagaimanapun, saya percaya ahli UMNO akan terus setia bersama parti.
“Lebih-lebih lagi, kita sertai (gabungan Pakatan Harapan) ini untuk pastikan wujud perpaduan lebih besar, selain kita mahu pastikan negara terus amalkan kesederhanaan,” katanya selepas Majlis Perasmian Pengoperasian Perkhidmatan Klinik Pakar Pesakit Luar Hospital Pengajar Universiti Sultan Zainal Abidin (HPUniSZA) di sini, hari ini.
Turut hadir, Naib Canselor UniSZA, Prof Datuk Dr Fadzli Adam; Pengerusi Lembaga Pengarah universiti, Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh dan Pengarah HPUniSZA, Prof Dr Ahmad Zubaidi A Latif.
Terdahulu, Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin menggesa ahli UMNO mengundi calon PN pada PRN 12 Ogos ini.
Beliau berkata, sekiranya calon Barisan Nasional (BN) kalah dalam PRN ini, ahli UMNO boleh mendesak Presiden parti itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk meletak jawatan.
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled yang juga Menteri Pengajian Tinggi berkata, tidak ada negara di dunia ini boleh bergerak secara solo atau bersendirian.
“Jadi berasaskan itu, kita meminta rakyat menerima kesederhanaan dan bukannya taasub serta sebagainya.
“Rakyat perlu menerima perpaduan, permodenan dan menolak kemiskinan serta kemunduran.
“Kita sedia maklum dan sedar, sentimen dimainkan ketika pilihan raya ini untuk mendapatkan sokongan pengundi,” katanya.
BACA JUGA:
Anwar tak boleh tido nyenyak fikir nasib orang miskin tegar masih terabai