Siapa pengganti Salahuddin? – Ini respon Mat Sabu

Siapa pengganti Salahuddin? – Ini respon Mat Sabu

Soal pengganti kepada jawatan-jawatan yang dipegang oleh Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub akan dibincangkan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ini melibatkan jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup serta calon bagi kerusi Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram selain jawatan Timbalan Presiden Parti Amanah.

Siapa pengganti Salahuddin? - Ini respon Mat Sabu

Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, perkara itu akan diputuskan oleh kepimpinan parti bila tiba masa yang sesuai.

Justeru, beliau meminta barisan pimpinan dan ahli-ahlinya supaya tidak mewujudkan sebarang spekulasi mengenai pengganti Salahuddin.

“Jangan memikirkan dahulu siapa yang akan menggantikan tempat almarhum Salahuddin. Selepas ini, barulah kita akan membincangkan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkait pengganti kepimpinan yang telah pergi.

“Jangan kita dilaga-lagakan oleh pihak lain dalam isu ini. Pihak kepimpinan Amanah sendiri akan menguruskan sebaik-baiknya hal-hal berkait pengganti kepimpinan dan masa depan parti mengikut aturan-aturan dan amalan kebiasaan parti,” katanya dalam kenyataan.

Ketika ini, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Senator Fuziah Salleh mengetuai kementeriannya.

Amanah ketika ini dibarisi tujuh Ahli Parlimen iaitu Mat Sabu, bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, Mohd. Sany Hamzan (Hulu Langat), Azli Yusof (Shah Alam), Raj Munni Sabu (Sepang), Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari dan Aminolhuda Hassan (Sri Gading).

Bagaimanapun, kata Mat Sabu, tumpuannya ketika ini ialah tugas menteri dan partinya dalam melaksanakan gerak kerja Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negeri.

“Saya sendiri memberi komitmen untuk memberikan tumpuan kepada tanggungjawab di Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dan turun bersama-sama ahli ke bawah untuk melaksanakan gerak kerja pilihan raya.

“Tanggungjawab kita sangat penting untuk memberi kemenangan kepada calon-calon daripada parti yang bergabung dalam kerajaan perpaduan iaitu Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN),” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas pada 3 Ogos ini, bagi membincangkan mengenai pelaksanaan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram, Johor.

Kekosongan luar jangka itu telah dimaklumkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dan Speaker DUN Johor, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi susulan pemergian penyandangnya, Salahuddin.

Kedua-dua PRK dijangka diadakan pada awal September ini.

BACA JUGA:

Penurunan harga petrol sebanyak 10 sen bukti kerajaan mahu ringankan beban rakyat

Tragis! Pemandu kancil maut dihempap kontena

”Kenapa tak terus tangkap The 1975 macam kes Sanusi?” – Ini penjelasan Datuk Seri Ayob Khan