Syada Amzah mahu ikut jejak kakak, terbang masuk antarabangsa – Shila Amzah restu adik jadi penyanyi
Hidup ini memang tidak lari daripada perbandingan. Nasib itu dialami oleh Syada Amzah yang merupakan adik kepada penyanyi terkenal, Shila.
Ah! Pedulikan sikap nista segelintir masyarakat itu. Kata Syada, beliau mempunyai sisi tersendiri.
Sebelum menyelongkar lebih jauh kisah empunya diri, lebih baik kalau SinarPlus mengimbau sedikit bagaimana kemunculannya di pentas hiburan.
Berawal, Syada merupakan peserta Idola Kecil musim ke-4. Nyanyian merdunya yang sering mendendangkan kembali lagu saduran dan dimuat naik di Instagram, membuatkan ramai jatuh suka.
Anak kepada penyanyi veteran ND Lala itu kemudian terpilih menyertai rancangan realiti, Big Stage 2. Kini, selepas 15 tahun menanti, Syada tersenyum lebar apabila sudah tampil dengan album terbaharu berjudul Hasrat.
“Memandangkan ahli keluarga saya ramai yang aktif sebagai anak seni, jadi banyak benda yang saya boleh belajar sama ada baik atau buruk dan yang mana patut dielakkan.
“Pada masa sama, saya cuba mencari diri sendiri. Dalam tempoh tersebut, memberi ruang dan peluang untuk saya ‘duduk‘ depan cermin dan mengenali diri dengan lebih baik, sekali gus tampil dengan buah tangan terbaik iaitu Hasrat,“ ungkap pemilik nama sebenar Nursyuhada Amir Amzah membuka mukadimah bicara kami.
Melihat Syada seperti terbuka menerima apa sahaja soalan, penulis terus bertanya apa perasaannya apabila seringkali dibandingkan dengan Shila?
Bukan apa, si kakak sudah terbang tinggi sehingga ke persada antarabangsa. Anugerah di pentas berprestij pun sudah banyak dibolotnya.
Baca ni ‘Kehadiran Hana telah banyak mengubah prestasi diri dan sumber kekuatan saya’. Ucapan tulus Da‘i Syed kepada isterinya
Beliau terus memberi jawapan matang dengan berkata: “Bohonglah andai kata tidak kecewa atau marah. Namun, itu semua berlaku ketika usia masih kecil. Selepas dah masuk belasan tahun, saya sudah boleh bersikap rasional. Kami adik-beradik dibesarkan dengan pemikiran ‘tukar masalah jadi peluang‘.
“Justeru, saya rasa bangga dengan kejayaan kakak melebihi daripada rasa cemburu, sementelah yang berjaya itu bukan orang lain, sebaliknya darah daging sendiri.“
Jangan cakap gadis manis itu tiada impian menggunung. Ujarnya, beliau teringin untuk bergelar pelakon sinetron.
“Saya boleh berbahasa Indonesia. Justeru, kalau nak cuba, mungkin berlakon sinetron. Setakat ini masih dalam perancangan dan segalanya dalam susunan. Semoga berjalan lancar, doakan ya,“ pintanya.
Syada masih ada lagi cerita untuk dikongsi tentang Shila. Secara lahiriahnya, memang adik-beradik perempuan akan rapat di antara satu sama lain.
Pun begitu, tidak bagi Syada dan Shila. Kata tuan punya badan, tiada istilah gegirl talk atau pillow talk kalau dengan kakaknya.
“Realitinya, hubungan kami berdua lebih kepada bro-bro talk,“ katanya sambil tergelak.
Syada mengakui, beliau cukup rapat dengan abang keduanya yang bernama Syahir. Hal yang membabitkan emosi dan perasaan yang mendayu-dayu lebih dicurahkan kepada lelaki berkenaan.
“Beliau ibarat kembar saya dan menjadi tempat meluahkan segala-galanya. Pernah nangis sama-sama dan sebagainya. Umur kami pun dekat dan cara kami berfikir pun sama. Semua kawan abang ialah kawan saya dan itu membuatkan apa yang beliau cakap, saya boleh terima.
“Kebanyakan masa saya juga dihabiskan dengan abang dari umur belasan tahun hingga tamat sekolah. Hanya kami tinggal berdua di rumah kerana ibu dan ayah sibuk dengan urusan kakak,“ ujar Syada lagi.
Itu tidak bermakna Shila tak penting untuknya. Jika ada sesuatu yang membabitkan kakak tersayang, sedikit sebanyak naluri empati tuan punya badan terusik. Bak kata pepatah cubit paha kanan, paha kiri turut terasa.
Lebih-lebih lagi kontroversi yang melanda penyanyi lagu Patah Seribu itu usai bergelar ibu tunggal. Terkini, pastilah tentang pertunangan bersama pemuda yang jauh jarak umurnya.
Tentang perkara itu, apa pandangan beliau? Waswas dengan pilihan kakak?
“Tiada istilah waswas atau curiga dengan keputusan yang dibuat kakak. Sebaliknya, kami sekeluarga menyokong kerana kami tahu beliau sudah buat yang terbaik untuk kebahagiaan sendiri. Mungkin inilah sinar bahagia yang kakak cari selama ini.
“Ya, mungkin sedikit kekok memandangkan usia kami (Syada dan bakal abang ipar) sama. Pun begitu, kami harus membiasakan diri kelak,“ ujar Syada yang akan memanggil bakal abang ipar, Ubai dengan panggilan nama sahaja.
BACA JUGA:
Resepi nasi goreng cili kering lejen! Cara paling pantas tapi sedap menjilat jari
Tahanan diburu selepas lari dari hospital
Viral mak nyah dan pengkid disatukan sebagai suami isteri lepas 5 hari kenal