Tidak menang tangan, Jual roti canai sekeping 50sen dan murtabak RM3
Seorang bekas tentera tidak menang tangan apabila jualan roti canainya yang berharga 50 sen sekeping mencecah sehingga 2,000 keping sehari selepas proses penamaan calon pada 29 Julai lalu.
Md. Kamil Abdullah, 68, berkata, peningkatan itu susulan roti canai tersebut dijadikan sebagai makanan untuk petugas dan jentera parti.
“Sambutan ini mungkin kerana roti canai saya paling murah dan saiznya tetap sama seperti dahulu. Saya mengekalkan harga lama atas dasar berniaga sambil bersedekah selain berkongsi rezeki.
“Walaupun berdepan kenaikan harga gandum dan mentega sejak kebelakangan ini, saya masih mampu bertahan,” katanya ketika ditemui di gerainya di Kampung Padang Pak Amat, Jalan Jeram Pasu, di sini semalam.
Md. Kamil berkata, dia turut mendapat bantuan daripada anak dan isteri dalam memenuhi permintaan pelanggan.
Katanya, warungnya beroperasi bermula pukul 3 petang hingga 12 tengah malam setiap hari kecuali Selasa.
“Selain itu, saya turut menjual murtabak pada harga RM3 sekeping,” ujarnya.
BACA JUGA:
“Keras kepala” boleh buat rayuan tapi minta maaf tak boleh – Amelia
Lebih senang lepas ni! Tiada ujian komputer untuk ambil lesen memandu bakal berkuatkuasa