Timbalan Menteri Besar mohon rakyat semak fakta sebelum sebar! Rupanya staf pejabat Air Kelantan bukan curi tulang
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah memberi penjelasan berhubung dakwaan kaunter Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) kosong walaupun waktu pejabat sudah lama bermula.
Menurut Mohd Amar, dia terkejut dengan dakwaan itu yang dibuat oleh seorang pengguna yang hadir ke pejabat cawangan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) pada Ahad.
Jelasnya, kakitangan AKSB sudah ada dan ketika itu dia pergi ke tandas sebelum datang semula ke kaunter pada jam 9.30 pagi.
“Hari ini (semalam) tular kata kaunter AKSB kosong. Saya baca dan terkejut juga, tetapi saya rujuk kepada pihak berkenaan.
“Rupanya kakitangan keluar sekejap untuk ke tandas dan kebetulan pelanggan itu datang, jadi (kaunter) kosong. Silapnya kakitangan tidak letak notis atas kaunter.
“Pada masa yang sama, dia (pengguna) datang dan buat tohmahan kata kakitangan tidak kerja sebab itu panggilan tidak dijawab serta sebagainya. Akhirnya benda ini tersebar,” katanya menerusi siaran langsung diskusi, Kelantan Maju 2028.
“Orang guna media sosial dan suka sebar tanpa semak fakta dahulu sama ada betul atau sebaliknya,” katanya.
Pada Ahad pelayar Hanif M Noor meluahkan rasa terkilannya di Facebook terhadap staf pengurusan AKSB.
Sebagaimana dinyatakan dalam hantarannya, sebagai pelanggan dia berasa kesal sejurus tiba di pejabat AKSB cawangan Pasir Mas pada pagi Ahad setelah melihat pejabat kosong tanpa pekerja sedangkan waktu operasi sepatutnya bermula jam 8 pagi.
Dakwanya, dia sebelum itu cuba berkali-kali menghubungi pihak pengurusan melalui telefon dan menghantar mesej di aplikasi WhatsApp namun tiada sebarang respons diterima.
BACA JUGA:
Nak beli jiwa tak perlu modal, suami bina cabinet dapur guna rak buku je! Ini panduan untuk korang