Wanita pernah viral pandu kereta menggunakan kaki selamat bernikah, “Syukur dia terima kekurangan saya”
Wanita yang dilahirkan tanpa kedua-dua belah tangan, Norfarrah Syahirah Shaari telah selamat bernikah dengan jejaka pilihan hati, Zulfadli Syahrul pada Ahad.
Kisah Norfarrah pernah menjadi perhatian ramai berikutan kecekalan dan semangatnya dalam menjalani kehidupan seharian sebagai Orang Kurang Upaya (OKU).
Antara videonya yang tular di media sosial adalah aksi memandu menggunakan kaki sehingga membuatkan netizen kagum dengan kebolehan luar biasa itu.
Menerusi laporan Utusan, wanita itu tidak menyangka dapat bertemu jodoh dengan seorang lelaki yang cukup sifat dan sanggup menerima kekurangan dirinya.
“Kekurangan anggota fizikal sejak lahir, pada awalnya saya tidak yakin dia boleh menerima kekurangan diri saya.
“Namun dia tetap meneruskan niatnya untuk berkawan dan hampir setahun kami berkawan, dia datang ke rumah membawa rombongan untuk bertunang tahun lepas.
“Saya sangat terharu dan sebak apabila dia menerima kekurangan saya,” katanya.
Mengimbas kembali detik perkenalan, Zulfadli berkongsi pada awalnya dia cuba-cuba menghantar mesej kepada Norfarrah di media sosial namun tidak berbalas.
“Tiga kali saya cuba tapi mesej tidak berbalas. Hanya selepas lebih dua tahun iaitu kira-kira dua hari menjelang Hari Raya AidilAdha tahun lepas barulah dia membalas mesej saya,” katanya
Zulfadli berkata, Norfarrah adalah seorang super woman yang ada kelebihan dan keistimewaan tersendiri. Ujarnya, dia tidak pernah memikirkan kekurangan pada isterinya kerana baginya semua orang dalam dunia ini sama.
Perkongsian video pernikahan kedua pasangan itu telah menarik perhatian netizen, rata-ratanya terharu melihat pengantin lelaki sebak ketika melafazkan taklik selepas akad nikah.
Dalam pada itu, netizen turut mengucapkan tahniah dan mendoakan perkahwinan yang dibina ini berkekalan.
BACA JUGA:
Janna Nick meraung semasa bersiaran lansung, rupanya ini yang terjadi
Malang tidak berbau, penunggang motosikal maut dirempuh kereta langgar lampu isyarat